Halaman

❤Detik Detik Indah Dalam Hidupku❤

Rabu, 9 Disember 2009



Jawatan baru

Asalamualaikum & salam sejahtera. ( Copy & paste) untuk rujukan maklumat saya dan sesiapa yang sudi membaca. Diucapkan ribuan terima kasih atas kelapangan & kesempatan kita untuk membaca pada hari ini.

Oleh Rosniza Mohd Taha

Kementerian cadang lantik guru kanan disiplin, warden asrama

MEWUJUDKAN jawatan guru kanan disiplin gred DG44 di sekolah menengah dan DGA 32 bagi sekolah rendah antara langkah dikaji kementerian bagi memantapkan pengurusan aspek berkenaan di sekolah.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Kaunseling & Disiplin, Anuar Abd Hamid, berkata jika pengwujudan jawatan itu diluluskan, guru terbabit juga akan diberi elaun tanggungjawab dan pengurangan waktu mengajar.

Beliau berkata, pihaknya turut bercadang mewujudkan jawatan warden untuk memantapkan pengurusan asrama sekolah seluruh negara.

Pengwujudan dua jawatan baru itu, katanya, antara langkah dalam kajian Kementerian Pelajaran bagi memantapkan pengurusan disiplin bagi mencapai sasaran salah laku disiplin sifar.

“Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jumlah murid terbabit salah laku disiplin secara keseluruhan adalah 1.26 peratus, menurun 0.01 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu 1.27 peratus.

“Bagi memastikan trend penurunan salah laku disiplin ini kekal, kementerian akan menjalankan usaha berterusan pemantapan pengurusan, selain melaksanakan program berbentuk pendidikan, pencegahan dan kawalan,” katanya ketika menyampaikan ceramah Isu dan Pelaksanaan Program Menangani Gejala Disiplin Murid sempena Seminar PIBG peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Anuar berkata, kementerian juga dalam proses memurnikan kertas cadangan bagi mengecilkan nisbah kaunselor daripada 1:500 kepada 1:300 terutama di sekolah berisiko.

Turut dicadangkan, katanya, memperluas pelaksanaan Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) berdasarkan markah merit dan de merit serta merintis pelaksanaan Piawaian Keselamatan Sekolah bagi menangani gejala sosial di sekolah.

Beliau berkata, jalinan kerjasama dengan badan bukan kerajaan seperti Mapan dan Persatuan Psikologi Malaysia juga akan dikukuhkan bagi melaksanakan tindakan secara lebih berfokus dan berkesan.

Mengenai senario salah laku disiplin semasa, Anuar menjelaskan ponteng sekolah masih perlu diberi perhatian utama terutama di peringkat rendah kerana jumlah murid terbabit kesalahan itu terus meningkat.

Katanya, kadar salah laku disiplin murid sekolah rendah secara keseluruhannya meningkat daripada 0.78 peratus tahun lalu kepada 0.79 peratus tahun ini.

“Peningkatan ketara direkod bagi kategori salah laku ponteng sekolah iaitu 0.04 peratus, selain kekemasan diri dan kurang sopan, masing-masing 0.02 peratus.

“Berdasarkan data kementerian, didapati jumlah kes ponteng sekolah masih menjadi isu utama kerana walaupun ia semakin berkurangan di sekolah menengah, di peringkat rendah, ia masih membimbangkan.

“Isu ponteng sekolah dianggap serius kerana ia boleh menyebabkan pelajar terbabit dengan gejala negatif seperti salah guna dadah, gangsterisme, minuman keras, seks bebas dan perjudian,” katanya.


Terima Kasih Anda Selesai Membaca n3 Ini

0 Pesona Kata Hati Mereka: