Halaman


 Banner

❤Detik Detik Indah Dalam Hidupku❤

Selasa, 10 November 2009

Tarian etnik suku kaum Sabah mampu memperkenalkan keunikan budaya Sabah kepada pelancong

.tarian-150x150  Tarian pelbagai suku kaum bantu promosi Sabah dalam pelancongan

NEGERI Sabah yang tidak kurang tiga puluh etnik suku kaum adalah negeri yang kaya dengan tarian kebudayaannya. Apabila tiba musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga perayaan Sabah Fest yang dirayakan pada Mei setiap tahun, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan yang dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan berkenaan.

Melalui tarian yang dipersembahkan itu, kita dapat mengenali sesuatu tarian dari pelbagai suku kaum yang terdapat di negeri Sabah ini. Maka dengan adanya tarian-tarian ini, ia dapat membantu negeri Sabah dalam eko pelancongan.

Mengenai kedua-dua perayaan yang dirayakan ini kehadiran pelancong dari luar mahu pun dalam negeri meningkat dan ini membuktikan bahawa tarian kebudayaan adalah antara produk pelacongan negeri kita. Antara tarian kebudayaan yang biasanya kita saksikan ialah tarian sumazau, tarian limbai, tarian mongigol sumandai, tarian kuda pasu dan banyak lagi.

Tarian sumazau ialah tarian dari suku kaum Kadazandusun dari daerah Penampang. Tarian ini ditarikan semasa upacara ritual ataupun majlis keramaian seperti perkahwinan selain daripada perayaan Pesta Kaamatan. Tarian ini ditarikan dengan gerak seolah-olah seekor helang sedang terbang sambil menari, sekali-sekala dengan suara yang nyaring, penari akan melebarkan kedua-dua tangan.

Tarian daling-daling pula merupakan tarian kegembiraan yang sangat popular di kalangan masyarakat Bajau dan Suluk di daerah Semporna. Biasanya tarian ini dipersembahkan oleh beberapa pasangan penari perempuan dan lelaki dalam majlis perkahwinan ataupupacarakeramaian lain di daerah Pantai Timur

Tarian ini diiringi oleh puisi mengenai cinta, kehidupan dan kebahagiaan. Puisi ini dinyanyikan dengan irama lagu yang berulang. Kadang kala lirik lagu yang mengandungi unsur-unsur jenaka dan cerita-cerita pendek disampaikan secara spontan.

Lain pula dengan tarian mogunatip. Tarian ini ditarikan di kalangan penduduk tempatan di pedalaman Sabah termasuk suku kaum Kadazandusun di Tambunan, suku kaum Kujiu di Keningau dan kebanyakan suku kaum Murut.

Semasa tarian ini ditarikan, beberapa pasang bambu panjang akan dihentak dan diketuk pada lantai mengikut rentak sementara para penari akan melompat masuk dan keluar di antara ruang hentakan bambu tanpa tersepit kaki. Tarian yang bertenaga dan menghiburkan ini biasanya ditarikan semasa majlis-majlis keramaian di kampung ataupun pada majlis keramaian yang lain.

Tarian limbai pula merupakan tarian suku kaum Bajau yang menetap di daerah Kota Belud di bahagian Pantai Barat Sabah. Ia ditarikan semasa menyambut ketibaan pengantin perempuan yang lain. Tarian ini ditarikan oleh tiga hingga empat pasang penari yang lemah lembut.

Tarian mongigol sumandoi juga merupakan tarian popular di kalangan masyarakat Rungus yang menetap di daerah Kudat dan Kota Marudu. Tarian ini ditarikan sama ada di majlis keramaian ataupun sebagai tarian ritual. Sebagai tarian ritual, lazimnya tarian ini ditarikan untuk menghormati bambarayon, iaitu semangat padi. Tarian ini ditarikan mengikut gerak seekor naga yang diketuai oleh penari lelaki yang seolah-olah kepala naga, manakala badannya pula terdiri daripada penari-penari perempuan.

Tarian adai-adai juga yang biasanya ditarikan oleh masyarakat Brunei yang menetap di daerah Sipitang yang biasanya ditarikan semasa majlis keramaian seperti perkahwinan dan majlis sosial yang lain yang diadakan di kampung dan ditarikan oleh pasangan lelaki dan perempuan. Tarian ini menggambarkan aktiviti dan kehidupan nelayan serta petani. Penari akan berpakaian tradisi dan kadang-kala menggunakan alat-alat seperti bakul dan jala semasa menari.


Terima Kasih Anda Selesai Membaca n3 Ini

0 Pesona Kata Hati Mereka: