Halaman


 Banner

❤Detik Detik Indah Dalam Hidupku❤

Sabtu, 7 November 2009

Manafaat berbaik sangka & Penawar buruk sangka


Manafaat berbaik sangka

Ada banyak nilai dan manafaat yang diperolehi seseorang muslim apabila memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.

Pertama, hubungan persahabatan dan persaudaraan akan menjadi lebih baik. Berbaik sangka dalam hubungan sesama Muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan.

Kedua, terhindar daripada penyesalan dalam hubungan dengan sesama kita kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukkan kepada orang lain, tanpa bukti yang benar.

Ketiga, selalu berbahagia dan bersyukur di atas segala kemajuan yang dicapai oleh orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya.

Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia

Seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab, “Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu, maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang. Islam juga mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.

Penawar buruk sangka

Sebenarnya, tiada penawar mahupun yang berasaskan sainstifik atau tradisional yang mampu mengubati dan menyembuhkan penyakit buruk sangka ini. Namun para ulamak dan cendiakawan islam ada menyarankan beberapa cara. Antaranya:

1. Buruk sangka terhadap diri sendiri, tetapi jangan mencari kekurangan orang lain, tetapi bergaullah dengan orang yang diburuk sangka terhadapnya itu dengan lebih rapat dan berdoalah untuk kebaikkan baginya.
2. Bermuhasabah diri setiap hari, jadikanlah diri kita seorang yang dapat menguasai was-was, bukan orang yang dikuasai was-was.
3. Perbaikilah diri kita dan bersihkanlah ia dari sifat buruk, kerana di sebalik buruk sangka akan mengundang sifat-sifat keji yang lain.
4. Ingatlah selalu bahawa Mahabbah, Mawaddah dan bersikap toleransi itu adalah nikmat yang sangat besar. Jangan musnahkan nikmat itu dengan sifat buruk sangka.
5. Ingatlah selalu, bahawa buruk sangka boleh merosakkan diri kita. Kita akan kehilangan rakan, kekasih, saudara-mara, malah juga isteri. Kita akan kehilangan ramai khalik dan disisih oleh masyarakat.
6. Ketahuilah dan ingatlah, bahawa syariat islam meletakkan asasnya atas rasa sangka baik terhadap semua orang islam dalam semua bidang: ekonomi, politik, sosial dan lain-lain lagi.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan mambawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah, seorang yang benar (jujur). Berhati-hati terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah, sebagai seorang pendusta." (Hadis Riwayat Bukhari)

Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apatah lagi dengan sesama Muslim dan aktivis dakwah. Di samping itu, bila ada benih-benih perasaan buruk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari bisikan atau godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita.

Orang-orang yang mempunyai penyakit buruk sangka, ragu-ragu dan was-was terhadap orang lain dan ibadahnya, maka dia wajib berusaha meninggalkan penyakit tersebut dan segera bertaubat. Agar ia tidak berulang, maka perlu dirawat dengan ilmu agama terutama ilmu akidah. Oleh itu setiap mukmin sewajarnya menyibukkan dirinya dengan menuntut ilmu seperti menghadiri majlis-majlis ilmu yang memperkatakan tentang agama. Kerana hanya ilmu agama yang dapat merawat dan menyembuhkan penyakit buruk sangka, ragu-ragu dan was-was.

Renung-renungkan.

Terima Kasih Anda Selesai Membaca n3 Ini

0 Pesona Kata Hati Mereka: