Halaman

❤Detik Detik Indah Dalam Hidupku❤

Ahad, 30 Ogos 2009

Pendapat Razak Mengenai Kemerdekaan Malaysia. Sajak Etuza.

Oleh Muhamad Razak Idris

Kemerdekaan ialah nilai terunggul dalam Islam. Malah, Islam dan kemerdekaan terlalu sinonim. Ini kerana, salah satu dari cita-cita utama agama Islam ialah memerdekakan manusia. Apabila manusia memiliki kemerdekaan, nilai-nilai ajaran Islam secara langsung terjelma dalam kehidupan.

Ramai dari kalangan masyarakat yang keliru dan beranggapan bahawa agama Islam mengongkong kehidupan. Kekeliruan ini amat menyesalkan. Ini kerana, sekiranya seseorang itu benar-benar menyelami inti ajaran Islam, dia akan mendapati bahawa Islam adalah agama pembebasan.

Ini dapat ditelusuri menerusi beberapa prinsip utama ajaran Islam. Pertama ialah ajaran kepercayaan atau aqidah yang merupakan tunjang agama. Prinsip yang menunjangi aqidah Islam dikenali sebagai Tauhid. Inti terpenting dari prinsip ini ialah tentang kesamarataan manusia di sisi Tuhan. Hanya Allah SWT sahaja yang paling tinggi dan sumber ketaatan dan pertanggungjawaban manusia. Manakala kedudukan manusia di sisi manusia yang lain adalah setara dan saksama.

Berasaskan prinsip Tauhid ini, Islam menyanjungi kemerdekaan setiap individu manusia. Memandangkan kedudukan manusia adalah setara dan pertanggunggjawaban mereka terhadap Tuhan adalah saksama, maka, seorang itu berhak menikmati nilai kemerdekaan dirinya. Dengan kata lain, tidak ada seorang manusia di dunia ini, walau dari bangsa atau keturunan mana sekalipun yang berhak mencabuli kemerdekaan yang dikurniakan Tuhan.

Ini kerana, ajaran Islam menolak pemikiran dan kepercayaan bahawa sesetengah individu atau kelompok manusia lebih mulia atau lebih tinggi darjat dan kehormatannya berbanding dengan yang lain. Sehubungan dengan kefahaman inilah, ajaran Islam menolak konsep perhambaan atau sistem kasta yang meletakkan kedudukan sosial tertentu bagi satu-satu kelompok masyarakat sehingga menyekat pergaulan dan perhubungan.

Islam sebagai agama pembebasan manusia memang cukup dihayati pengertiannya oleh masyarakat di Tanah Arab di awal perkembangannya. Oleh sebab itu, agama Islam begitu mudah sekali tersebar. Dalam suasana masyarakat pada waktu itu yang ditadbir berasaskan kemuliaan sesuatu kabilah atau puak, ia telah mengundang eksploitasi dan penindasan secara berleluasa. Golongan miskin dan fakir sering sahaja menjadi mangsa ketidakadilan. Keringat mereka dikerah sewenang-wenang untuk kesenangan golongan bangsawan tanpa imbuhan setimpal. Hak-hak mereka sering dirampas secara paksaan.

Kedatangan Islam seumpana satu sinar baru mengubat kesengsaraan yang telah sekian lama dialami masyarakat Arab. Islam telah menekankan tentang hak-hak dan kedudukan mereka yang setara dan saksama. Seruan kepada pembebasan manusia tambah diyakini menerusi kepimpinan Nabi Muhamad SAW yang telah tersohor dengan peribadi yang mulia lagi jujur. Seruan Nabi Muhamad SAW yang menegaskan bahawa`tiada perbedaan antara Arab atau bukan Arab’ dan `semua manusia berasal dari Adam dan Adam dijadikan dari tanah’ (maksud hadis), sering sahaja tergiang-ngiang dalam dakapan pendengaran mereka. Dan seruan itu memang benar apabila mereka melihat sendiri layanan dan cara kehidupan masyarakat awal Islam yang ditadbir oleh Nabi Muhamad SAW secara penuh saksama dan adil.

Penghayatan makna seruan pembebasan manusia ke arah kesaksamaan taraf dan kedudukan menjadi asas terhadap penentangan masyarakat Islam terhadap apa juga bentuk dan elemen yang membawa kepada penindasan sesama manusia. Kesedaran tersebut telah membangkitkan rasa benci terhadap sebarang unsur yang diistilahkan pada masa kini sebagai `penjajahan’. Memandangkan kedapatan sebahagian manusia yang rela memperoleh kesenangan diatas kesengsaraan orang lain, maka penjajahan telah digunakan sebagai saluran bagi tujuan tersebut. Sesungguhnya penjajahan, walau dalam apa juga bentuk sekalipun suatu amalan yang mesti ditentang.

Penjajahan-penjajahan ini mesti ditentang dan diprotes secara berterusan oleh setiap individu menerusi cara yang sesuai. Ini kerana, selagi mana ada penjajahan, selagi itu manusia tidak akan memperoleh kemerdekaan. Apabila seseorang itu terjajah, kehormatan dirinya turut tergadai. Oleh itu, memperjuangkan hak-hak dan kehormatan diri dan kaum yang dirampas merupakan satu ibadah yang besar sekali di sisi agama. Ia seumpama berjuang bagi menegakkan agama itu sendiri kerana agama diturunkan bagi memuliakan bangsa manusia.

Apabila agama Islam menyeru kepada pembebasan dan kemerdekaan manusia, ia sebenarnya menyeru kepada pemartabatan kehormatan manusia itu sendiri atau disebut dalam istilah al-Quran sebagai `karamah insaniyyah’. Dalam kata lain, manusia ialah kejadian Tuhan yang paling mulia dan kemuliaan ini adalah anugerah Tuhan yang paling agung. Tiada sesiapa juga dari kalangan manusia yang boleh merampas kemuliaan dan kehormatan ini kerana ia adalah kurniaan Tuhan. Sekiranya ada manusia yang gemar dengan tabiat menindas, menzalimi dan menjatuhkan maruah manusia yang lain, maka sebenarnya, dia telah menghina anugerah dan kurniaan tertinggi Tuhan kepada manusia. Allah telah berfirman dalam surah Al-Israa’ (17:70)

` Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah berikan mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan’.

Dalam hubungan ini, kemerdekaan ialah salah satu dari ciri kemuliaan dan kehormatan manusia. Oleh itu, ia perlu dipertahankan dengan sepenuhnya walau sehingga terpaksa mengorbankan jiwa dan raga. Menerusi kemerdekaan, karamah manusia akan terus terpelihara. Apabila karamah dapat dipelihara, maka akan tertegaklah agama. Ini kerana, tujuan agama ialah menjaga karamah manusia dari tercabul oleh kerakusan manusia yang lain. Karamah ini hanya akan dapat dinikmati oleh manusia apabila mereka memperoleh kemerdekaan dirinya.

Dikirim dalam Kenegaraan




Gambar hiasan
Sajak dicipta orignal Etuza

" Kemerdekaan ini untuk genarasi Malaysia"

Malam ini, sepi menerjah..villa ini..
Sepi dan hening bagai aku seorang diri..berkelana..
Sepiku kerana villa terbina di lembah tanah pusaka..
Dan kini masa di ambang larut malam..
Pena ini masih menitiskan kata bicara..
Sedang mereka di ulit mimpi ..

Detik 12 malam kian menjelang..
Sedarkah bahawa ambang hari merdeka kian mendekat..
Yang sejak lalu bahang dirasa..
Bara bersahutan mengaggungkan kebanggaan ..
Kebanggaan dan kecintaan terhadap Malaysia merdeka..
Tanah tumpah darahku..
Tanah tumpah pejuang bangsa perkasa..

Hakikatnya kemerdekaan ini untuk siapa lagi...
Adakah kau tahu... merdeka hari ini..untuk negara tercinta..
Merdeka hari ini untuk merayakan preginya pejuang...
Segalanya mungkin benar..pada apa saja tanggapan mu..
Ambang merdeka selangkah lagi..
Saat-saat manis terdengar bagai guntur laungan Merdeka!Merdeka!Merdeka!..
Sorakan bersatu seirama sebulat suara bersatulah nadi Malaysia..

Di villa sepi di lembah pusaka ini..
Aku merenung jauh sejauhnya jika mataku tajam melihat..
Akhirnya aku melihat dengan mata hati..
Terindah nun di sana bagaikan pulau mahligai..
Berderetan sianak berkejaran...
Dipayungi panji-panji kemerdekaan..
Tanpa mereka sedar..bahawa mahligai itu ...
Adalah Negara kita Malaysia..
Bumi hijau yang harum mewangi bangsa muda pertiwi...
Ditinggalkan oleh pahlawan perkasa..
Mengenggam Malaysia sekukuhnya...
Untuk menjadi amanah turun temurun..
Kepada bangsa Malaysia dari genarasi ke genarasi baru..

Justru itu Kemerdekaan ini bagi ku adalah sebuah titipan..
Satu amanat dan satu tanggungjawab..
Bahawa yang memikul teraju keharmonian 1 Malaysia..
Adalah di dasari oleh belia-belia baru...
Mereka pelapis kepada yang lama
Mereka adalah pemikir baru yang perlu bijaksana ...
Melakar panji-panji keaggungan Malayisa..
Tanpa secalitpun terbakar oleh perasit kotor..
Tanpa sesaat panas bara perampas negara kita..

Lantas dengan bisikan halus..
Kita terapkan nilai-nilai kemerdekaan yang murni..
Kita alunkan kata puitis kemerdekaan..
Kita bina 1 negara bangsa 1 tujuan 1 haluan ..
Bahawa 1 Malaysia perlu mendukung genarasi baru..
Kerana pada hakikatnya..
Genarasi baru Malaysia adalah pusaka.. yang tak ternilai..
Untuk menjana malaysia maju ke hadapan..

Sekian saja sajak bertemakan merdeka oleh ETUZAWarna.




Gambar hiasan.



Gambar hiasan

Tema Hari Kemerdekaan 2009 Ke 52
10.8.09 at 9:11 AM Posted by Azhad

Sambutan Hari Merdeka 2009 kali ini akan berlangsung dalam bulan Ramadhan dan akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Difahamkan ini adalah pertama kalinya sambutan kemerdekaan peringkat kebangsaan di dalam stadium. Tema hari kemerdekaan ke 52 ialah 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Terkini: Lokasi sambutan tahun ini dijangka akan dipindahkan ke Bangunan Parlimen setelah mengambil kira perkembangan semasa influenza A H1N1 dan menghormati bulan Ramadhan.



Logo Sambutan Kemerdekaan 2009; 1 Malaysia


Logo berbentuk nombor satu dan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang serta tulisan Malaysia ini dinamakan 1 Malaysia. Logo 1 Malaysia melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.

Sementara itu logo 1 Malaysia ini dilengkapkan dengan lagu khas Satu Malaysia yang telah dicipta oleh Nik Nizam dan Errie Naham dan lirik oleh Lokman Ghani.



Lirik Lagu 1 Malaysia

Satu Malaysia

Berdiri, Teguh di bumi
Nyata pupuk semangat satu Malaysia
Sepakat, Rakyat didahulukan
Pencapaian diutamakan

Perpaduan, Mendapat rahmat
Toleransi kaum amalan bersama
Kejayaan, Kita bangunkan
Satu Malaysia

Dalam capai satu tujuan
Tanggungjawab kita semua
Jadi teras bangsa mulia
Kita bina Satu Malaysia

Satu Malaysia jadi pegangan
Rukun negara teras panduan
Satu Malaysia benteng negara
Rakyat Malaysia taat setia

Satu Malaysia untuk semua
Terima Kasih Anda Selesai Membaca n3 Ini

1 Pesona Kata Hati Mereka: