Stailo: Lelaki & aroma badan
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
Deodoran mampu atasi masalah bau badan
SINDROM bau badan umpama lumrah dalam kamus hidup lelaki. Gaya hidup lelaki yang terdedah dengan tugas di luar menjadi punca mereka berdepan dengan isu bau badan. Cuaca panas, kering dan hujan menyebabkan lelaki aktif mudah berpeluh.
Peluh berlebihan menjadikan badan lelaki mudah berbau dan menjejaskan penampilan. Lebih-lebih lagi lelaki yang aktif bersukan, sudah pasti peluh mereka merembeskan bau kurang menyenangkan. Masalah bertambah teruk andai lelaki kurang prihatin dalam soal kebersihan dan perapian diri.
Bukan wanita saja yang perlu peka terhadap masalah bau badan, lelaki juga harus tahu etika penjagaan diri termasuk mencari alternatif menyah bau badan jika mahu mengelak diri dipulaukan.
Selain meningkatkan kebersihan diri, pemakaian deodoran menjadi antara pilihan terbaik menghilangkan bau kurang enak dari tubuh. Bahagian bawah ketiak yang sering menjadi zon ketara bau badan perlu disapu produk ini.
Pemakaian deodoran mampu mengurangkan aktiviti perpeluhan bawah ketiak dan pada masa sama, mengusir bau yang selama ini membelenggu diri lelaki. Pemakaian deodoran secaa berterusan mampu mengelak masalah aroma badan kurang menyenangkan.
Mari berkongsi cerita Pegawai Pakar Suaian Fizikal Institut Sukan Negara (ISN), Syed Zamani Syed Zain, 30, yang lali dengan masalah bau badan.
Tugas sebagai Pegawai Kecergasan ISN dengan lebih 10 tahun pengalaman menjadi jurulatih kecergasan gimnasium, Syed Zamani cukup arif dengan lelaki yang mengalami masalah aroma badan.
"Lelaki yang aktif bersukan tidak semestinya mengalami masalah bau badan yang teruk. Sebaliknya, saya percaya faktor kebersihan dan pemakanan menjadi punca lelaki mengalami masalah bau badan.
"Lelaki yang mempunyai aroma badan kurang menyenangkan harus kerap mandi dan gunakan deodoran. Kurang prihatin terhadap kebersihan diri boleh menjejaskan penampilan kita," katanya.
Syed Zamani berkata, beliau mandi lebih tiga kali sehari termasuk pada waktu tengah hari dan setiap kali selesai menjalani sesi latihan kecergasan. Kata Syed Zamani, biarpun hanya melatih atlit, beliau juga berpeluh.
Beliau berkata, tiada alasan untuk lelaki mengabaikan deodoran dalam rutin perapian kerana banyak produk itu dijual dengan pelbagai variasi mengikut cita rasa.
"Sejak di bangku sekolah lagi saya sudah membiasakan diri menggunakan deodoran. Tidak lengkap rasanya jika tidak menyapunya setiap kali selepas mandi," katanya.
Syed Zaman berkata, beliau pernah menegur dua pelanggan di pusat gimnasium tempat beliau bertugas gara-gara masalah bau badan.
"Saya masih ingat insiden menegur dua pelanggan terbabit selepas menerima aduan dari orang lain mengenai aroma badan mereka. Namun, saya bersikap profesional dan menjelaskan situasi sebenar kepada mereka.
"Kesannya, mereka mula menggunakan deodoran dan menampakkan perubahan positif," katanya.
Hindar bau...
BAGI memastikan badan terhindar daripada bau kurang menyenangkan, penggunaan deodoran dan kolon adalah jawapan terbaik. Di pasaran, pelbagai jenis dan jenama deodoran mampu membantu lelaki mengatasi masalah bau badan.
Selain jenis stik, krim, semburan dan bebola, deodoran tampil dengan pelbagai kandungan bagi membolehkan penggunanya merasa selesa. Biarpun terdedah dengan persekitaran dan aktif sepanjang hari, deodoran mampu menjadikan lelaki lebih berkeyakinan.
Bagi yang menggemari deodoran jenis krim, Kiehl's Superbly Efficient Anti Perspirant & Deodorant Cream adalah pilihan terbaik. Produk ini dikatakan mampu melindungi masalah bau badan selama 24 jam.
Tidak sekadar menjadikan badan lebih segar dan wangi, deodoran jenis krim ini membolehkan kulit menjadi lebih lembut dan tidak meninggalkan sebarang kesan pada pakaian seperti produk lain.
Biotherm Homme Day Control Deodorant Roll-On pula boleh menjadi alternatif jejaka yang menggemari deodorant bebola. Biarpun lebih banyak deodoran jenis stik dipasarkan, penggemar deodoran bebola ada alasan tersendiri memilih produk ini. Apa kata anda mencubanya?
Tidak sekadar memiliki aroma pewangi, stik deodoran Emporio Armani Diamonds for Men juga bebas kandungan alkohol untuk jejaka muslim. Umpama menyembur parfum, begitulah yang dirasa jejaka yang menggunakan produk ini.
Bagi lelaki yang tidak mempunyai masalah bau badan tetapi mahu menggunakan deodoran, stik deodoran Acqua Di Gio mungkin menjadi pilihan terbaik. Produk ini juga bebas alkohol.
Jenama Ralph Lauren pula tampil dengan pelbagai deodoran berkonsepkan haruman. Ralph Lauren Polo Blue Vitamin Enriched, Ralph Lauren Polo Black dan Ralph Lauren Romance Men - masing-masing bebas alkohol dan memiliki haruman menyegarkan.
Tip elak bau badan
Masalah bau badan mungkin berbeza dalam diri setiap individu. Jika kamu fikir bau badan anda biasa saja, orang lain mungkin mempunyai pandangan berbeza. Sehubungan itu, anda perlu peka dengan persekitaran dan cuba patuhi tip berikut...
1. Tukar baju dengan kerap dan jangan biarkan baju basah mengering pada tubuh kamu. Bawa pakaian tambahan jika kamu bersukan.
2. Pakai baju longgar yang diperbuat daripada material kapas. Ia akan mengelak kamu banyak berpeluh.
3. Mandi dengan kerap. Jika kamu mandi sekali sehari, ia tidak mungkin mencukupi. Mandi sekali pada waktu pagi dan petang. Ini akan membuatkan kamu berbau wangi dan segar.
4. Selesai mandi, pastikan badan dikeringkan.
5. Gunakan deodoran dan kolon wangi. Kolon yang berbau ringan boleh disembur dengan jumlah sedikit.
6. Basuh baju kamu dengan sabun yang wangi. Biar baju kering sepenuhnya sebelum dipakai semula. Ini akan memberikan kamu bau wangi dan bersih sepanjang hari.
Terima kasih: Pengurus Perhubungan Awam, Bahagian Produk Mewah L'Oreal Malaysia Sdn Bhd, Connie NG.
0 Pesona Kata Hati Mereka:
Catat Ulasan