السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hari ini terasa ingin menulis dan menyatakan sesuatu yang mana kenyataan ini adalah terbit dari hati dan jiwa seorang lelaki yang telah bergelar ayah. Kekadang banyak idea dan pendapat yang berkecamuk dalam benak fikiran ini. Terlalu banyak yang mencakupi dari pelbagai sudut. Maka jika menulispun kita akan bebas apakah bahan maklumat yang ingin kita ajukan dalam laman kita sendiri. Bagaimanapun terasa kaku hendak menulis jika bukan disertai dengan rasa ikhlas. Bila menulis dengan keadaan perasaan yang kurang selesa, maka timbul rasa malas dan kalut untuk menyatakan info di laman sesawang ini.
Namun hari ini, ada peluang yang rasanya sukar ku lalui dimasa - masa akan datang. Maka kelapangan masa yang ada hari ini menyebabkan ada paparan baru dalam laman Etuza Warna-Warna Kehidupan ini sebagai koleksi cerita ku di maya dan untuk sesiapa yang sudi berkongsi idea saya ini. Hendaknya terlerailah sesuatu yang tersimpan dalam jiwa ini.
Seperkara yang ku timbang sebelum membina rumahtangga ialah akan ada juriat atau anak-anak yang akan hadir menyerikan suasana. Sama ada lelaki atau perempuan tetap taraf mereka sama sahaja yakni mereka adalah hambaNya yang perlu dijaga dan diberi penghormatan terbaik dari kedua ibubapa kerana anak adalah AMANAH Allah kepada pasangan suami isteri. Memang berat tanggungjawab ini, kerana aku dahulu dilahirkan oleh ibubapaku dan menerima pelbagai situasi suka dan duka kehidupan ini. Kini anak-anak yang ku bayangkan dahulu didepan mata, mereka dari lahir, membesar dihadapan kami berdua sebagai ibubapa.
Sedari dahulu memang jelas bahawa benar-benar aku tahu tugas mendidik anak itu WAJIb dan tidak boleh diperlekehkan. Kewajiban itu aku lakukan sedaya upayaku. Seboleh kemampuan dan seelok-eloknya jalan yang ku pilih untuk anak-anak kami itu adalah yang terbaik. Kadang-kadang terlihat bagaimana ibubapa yang lain mendidik anak. Kelihatannya ke arah yang positif dan ke arah yang lebih baik yang pastinya anak-anak akan terjurus ke arah kejayaan yang diharapkan oleh ibubapa. Namun ada juga kelihatannya ibubapa mensia-siakan anak-anak. Mereka menganggap pendidikan itu khusunya didikan agama tidak dititikberatkan. Keadaan begini pastilah memusnahkan masa depan anak-anak dan merugikan keluarga, agama dan negara.
Sebagai ibubapa nasihat, motivasi, dorongan, perangsang dan sokongan kepada anak-anak yang kami lahirkan itu tidak pernah jemu- jemu ku lakukan sebagai ayah. Meminta dan mengarahkan mereka agar buatlah yang terbaik demi mencapai masa depan yang gemilang. Tidak pernah ada kata putus asa biarpun sedikit dalam jiwaku, kiranya dicabar atau dilanda pelbagai masalah yang menimpa. Aku anggap apa juga masalah yang melanda itu adalah masalah yang akan menjadikan usaha ku lebih matang dan mematangkan fikiran anak-anak. Kadang-kadang aku terdengar keluhan anak-anak, kata-kata mereka sebenarnya jika difikirkan amat menghiris hati ibubapa, tetapi ku tepis semua itu agar tidak akan runtuh nilai semangat ku sebagai ayah dalam mendidik anak-anak ke arah kehidupan yang lebih harmoni dan bahagia di masa depan mereka. Impian utamaku kini ialah melihat anak-anak menjadi hambaNya yang soleh dan soleha, menjaga solat dan tahu menghargai kehidupan ini serta menghormati masyarakat lain di sekeliling dan di mana-mana juga. Dengan akhlak yang baik ke mana pun mereka diharap menjadi hambaNya yang sentiasa selamat dan tahu bersyukur atas semua rahmat dan kasih sayang Allah. Dan paling baik lagi jika anak-anak menyayangi dan menghormati ibubapa serta sentiasa mendengar nasihat ibubapa mereka sendiri.
Jika anak-anak itu sekalipun tidak kisah akan nasihat kita, cuba mengelak dan memperlekehkan nasihat kita, kita sebagai ibubapa dan seorang ayah usahlah menyakiti hatinya, memukulnya dan mengherdik dengan kata-kata kesat. Dikhuatiri kata-kata kesat dan herdikan itu akan menjadi satu doa yang akan menambahkan kerosakan akhlak anak-anak kita. Dengan pegangan yang ku yakini ini maka sebagai ibubapa dan ayah marilah agar tidak membataskan fikiran, tidak menghadkan fikiran tetapi memperluaskannya dan mengindahkan fikiran dengan nilai-nilai iman agar terpahat rasa kasih dan sayang kepada anak-anak yang kita lahirkan itu. Kerana tanggungjawab mendidik anak-anak agar lebih berguna dan tidak terjerumus ke perkara keji adalah WAJIB dan semestinya ibubapa tidak boleh perlekehkan tanggungjawab itu tetapi tetap dan sentiasa bersabar takkala menghadapi masalah mendidik anak-anak. Sebaliknya juga anak-anak yang kian remaja itu dan seterusnya menjadi dewasa usah perlekehkan nasihat ibubapa tetapi yakinlah bahawa nasihat dan teguran ibubapa itu akan menjadikan diri anak-anak menempah kehidupan yang cemerlang dan gemilang disuatu masa akan datang.
Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”.
(HR Muslim)
“Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”.
(HR Muslim)
0 Pesona Kata Hati Mereka:
Catat Ulasan