Halaman


 Banner

❤Detik Detik Indah Dalam Hidupku❤

Selasa, 2 Mac 2010

Evolusi dan revolusi sekolah di Malaysia

PERSPEKTIF

Evolusi dan revolusi sekolah di Malaysia

Oleh WAHID HASHIM


SEORANG guru menunjukkan poster kejayaan pelajar Sekolah Sains Mahidol Wittayanusorn, Thailand di persada antarabangsa, di sekolah itu, baru-baru ini.

KEMUNCAK persekolahan. Itulah gambaran kepada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Ia adalah sebahagian daripada evolusi pendidikan yang bukan sahaja berlaku di Malaysia – malah segenap pelosok dunia bertamadun. Apakah evolusi itu? Berikut ialah sedikit gambarannya.

Sekolah istana


BEGINILAH sambutan guru Sekolah Sains Mahidol Wittayanusorn,Thailand setiap kali kunjungan Permaisuri Maha Chakri Sirinthon ke sekolah berkenaan.

Di Thailand, ada sekolah yang berstatus diraja - Sekolah Sains Kebangsaan Thailand, Mahidol Wittayanusorn. Di Malaysia, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) adalah yang setanding dengan sekolah di Thailand itu. `Restu’ raja ke atas sekolah di Thailand itu menelusuri semua keturunan rajanya. Sungguh syahdu melihat sekolah dimartabatkan sehingga berada di bawah naungan tangan baginda istana.

Penanda aras diletakkan setinggi-tingginya. Pencapaian sekolah diraja itu dikira daripada berapa ramai alumninya yang berjaya diterima ke universiti terkemuka – Harvard, MIT dan Cambridge. Kalau melawat ke sekolah itu, perhatikan pelajar putera dan puterinya menelaah buku di kaki lima tanpa dipedulikan orang pun.

Kalau di Malaysia, istilahnya ialah showcase school, tetapi di sana, ia dipanggil sekolah duta. Kalau anda berpeluang melawat ke sekolah itu, lihat juga bagaimana pelajar di makmal Fizik menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ketika di dalam makmal. Setiap pelajar membawa sebuah komputer riba.

Gifted student

Kita menerima hakikat bahawa peluang harus diberi kepada anak-anak yang boleh pergi jauh. Di empat penjuru dunia, ada pula sekolah untuk kanak-kanak pintar anugerah (gifted student). Di Arab Saudi, mereka ialah sheikh segala sheikh. Cara pemikiran mereka berbeza kerana mungkin pembawaan mereka kreatif dan inovatif, bukan ulat buku sangat.

Hakikat pahitnya ialah, pemikiran alternatif dan cepat matang mungkin lebih buruk daripada baiknya.

Kalau dalam filem Hollywood, mereka ini mungkin sekelompok manusia mutan yang tinggal di dalam rumah agam yang penuh misteri!

Sekolah bestari

Lain halnya dengan sekolah bestari. Sekolah bestari ialah program rakyat dan komuniti untuk tujuan menaik taraf proses dan sistemnya. Sebab itulah, proses dan sistemnya dipanggil sebagai alat atau tools. Alat ini merentasi semua sekolah harian biasa, sekolah berasrama penuh, Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK), SBT, sekolah sukan dan sebagainya.

Ada standard operasi bagi kerangka dasar penubuhan sekolah bestari. Dalam konteks yang disediakan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), dokumen standard ini dipanggil Standard Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS). Empat amalan perlu mendasari program pembestarian – pelaksanaan, perkakasan, modal insan serta integrasi pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Kalau dahulu papan batu dan kapur debu, berevolusi kepada papan hitam, papan hijau dan pen marker, maka di tangan pembestrian sekolah, pendidikan masa depan akan berevolusi kepada komputer riba, interaksi dan integrasi multimedia, teknologi mobile, i-kit dan apa sahaja yang tidak terbayang dalam pemikiran kita – tetapi tetap kita hadapi pada abad ke-21.

Sekolah bakat

Mungkin ada satu tahap lain seperti watak Harry Porter yang dipilih secara hand-picked kerana bakat semulajadinya, serta sahsiah keturunan yang jelas diwarisinya.Mungkin inilah sekolah bakat. Mungkin sekurang-kurangnya bakat dalam sukan atau seni. Jadi, wujudlah sekolah sukan dan sekolah seni. Kewajarannya ialah seni dan sukan merupakan industri yang mendatangkan pendapatan berbilion ringgit di negara maju!

Sekolah antarabangsa, swasta

Sekolah antarabangsa turut mendapat perhatian ramai ibu bapa warga asing. Ada taman perumahan eksklusif yang membangunkan sekolah antarabangsa atau sekolah swasta sebagai daya tarikan kepada orang asing membeli rumah mahal mereka. Teknik itu nampaknya berkesan. Namun, ibu bapa rakyat tempatan tidak boleh `membuat bising’ kerana jelas sekali peruntukan undang-undang melarang anak mereka bersekolah di sekolah antarabangsa.

Sekolah harian

Yang lebih penting dan perlu diberi perhatian dengan secukupnya ialah sekolah harian biasa – cukup sentimental dan evergreen, malah penuh beremosi. Di sinilah watak-watak istimewa dibentuk. Kalau hari ini seorang Raja memerintah negara, seorang Perdana Menteri memimpin negara, maka asasnya ialah tulis baca oleh sebuah sekolah biasa, dan oleh guru biasa. Kerajaan yang kita kenal pada hari ini yang sedar akan pertaruhan politik akar umbi di sekolah kebangsaan ini, sentiasa memberi perhatian yang secukupnya kepada sekolah harian.

Di sinilah takungan bakat bermula. Komitmen dan kreativiti pihak pengurusan sekolah memberi kesan yang cukup besar kepada pembangunan sekolah harian biasa ini. Kelas rancangan khas mungkin setaraf dengan anak-anak lain di sekolah berasrama penuh (SBP).

SKK DAN SBT


PEMANDANGAN biasa di Sekolah Sains Mahidol Wittayanusorn, Thailand… di mana ada kemahuan belajar, di kaki lima pun tidak menjadi masalah.

Bagi kita, peluang untuk berjaya dalam kehidupan adalah saksama bagi apa juga label dan cap sekolah. Kita bersyukur kerana kerajaan sentiasa sedar akan perlunya revolusi dalam penciptaan sekolah supaya pendidikan boleh berevolusi, matang dan berkembang.

Tapi pada masa yang sama kita perlu sedar bukan semua sekolah ini sesuai untuk anak-anak kita. Berilah peluang kepada anak yang betul-betul layak dan komited, berbakat dan bercita-cita besar, dan mungkin yang gifted untuk belajar di sekolah-sekolah istimewa itu supaya mereka terus berpencak silat dalam gelanggang akademik yang lebih tinggi – sama ada di dalam atau luar negara. Anggaplah itu sebagai tanggungjawab berat tambahan yang mereka kena pikul ketika masih di bangku sekolah.

Sebagai pemimpin sesuatu kawasan yang sudah matang, kita juga perlu berfikiran terbuka akan keperluan sekolah istimewa seperti SBT atau SKK untuk berada di kawasan kita. Perlukah ia dibina di kawasan kita? Kenapa perlunya di bawa ke komuniti kita? Untuk tujuan politikkah?

Sekolah dalam kategori istimewa seperti SBT tidak perlu banyak. Mungkin sebuah atau dua sudah memadai buat permulaan ini. Tidak perlu sehingga berpuluh-puluh dan tidak perlu pun ada di seluruh negara.

SBP, MRSM

Sekolah Berasrama Penuh – termasuklah di dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ialah rumus paling berjaya dalam sistem pendidikan di Malaysia.


PEMBELAJARAN berbantukan komputer adalah amalan biasa di Sekolah Sains Mahidol Wittayanusorn, Thailand.

Cendekiawan Melayu mahu pelajar di pedalaman dan kampung dikumpulkan dalam persekitaran pembelajaran kondusif, makanan yang cukup khasiatnya dan guru yang terbaik.

Sekolah agama (SABK), SJKC , SJKT sekolah mubaligh

Sekolah ini memerlukan pendekatan yang istimewa kerana ia menyentuh faktor sejarah, budaya dan agama masyarakat majmuk secara langsung. Secara umumnya, laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sehingga 2010 menunjukan dengan jelas betapa besarnya peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada sekolah ini secara yang cukup saksama dan demokratik.


Terima Kasih Anda Selesai Membaca n3 Ini

2 Pesona Kata Hati Mereka:

JaLiFaH BinTi MuHaMiN berkata...

Bagus info ni. :)

etuza berkata...

tahniah anda unya kesempatan membaca dan meneroka ilmu..saya bangga punya teman blogger seperti anda. Teruskan bermaklumat