Dalam era kita yang semakin terbuka, maju dan mencabar lagi kompleks ini, penguasaan memahami dan mempraktiskan pelbagai teknik untuk mendidik anak-anak murid dalam koneks guru dan anak-anak dalam konteks ibubapa amat diperlukan. Dalam konteks persekolahan, sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa guru tidak perlu memuji murid atas suatu kebaikan atau pencapaiannya. Pujian guru kepada murid bagi mereka dikuatiri boleh menimbulkan kesan negatif kepada sikap murid. Ada kekuatiran bahawa berkemungkinan murid yang diberi pujian itu akan berlagak angkuh atau sombong dengan guru-guru atau murid-murid lain. Sesetengah pihak pula mungkin berpendapat bahawa pujian guru kepada murid itu perlu untuk membentuk semangat dan jati diri mereka.
Apapun tanggapan atau persepsi yang dilontarkan, ERAKITA berpendapat bahawa pujian dari seorang guru kepada muridnya masih relevan. Namun pujian tersebut haruslah berlandaskan kaedah atau cara yang betul. ERAKITA ingin berkongsi dengan anda beberapa teknik atau kaedah yang boleh diaplikasikan seorang guru ketika memuji murid seperti berikut:
Pujian hendaklah bersifat khusus atau spesifik. Contohnya, seorang cikgu mengungkapkan kata-kata ini kepada anak muridnya yang telah mencapai peningkatan markah ujian walaupun dengan peningkatan sedikit saja seperti “Cikgu amat bangga dengan pencapaian ujian kamu kali ini, teruskan pencapaian seperti ini pada masa hadapan, tahniah sekali lagi”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid ketika itu!. Sambil mengeluarkan kata-kata itu, cikgu tersebut mungkin ada baiknya menepuk-nepuk bahu anak muridnya dengan penuh ikhlas. Cuma perlu diingat bahawa kaedah ini lebih sesuai untuk guru lelaki untuk murid lelaki, guru perempuan untuk murid perempuan.
Pujian juga boleh dilakukan dalam bentuk tulisan. Contohnya, ketika penyerahan markah ujian, guru menulis dalam kertas jawapan ujian murid dengan kata-kata pujian atas pencapaian murid dalam ujian tersebut. Kata-kata pujian yang teratur dan singkat seperti “Cikgu bangga atas pencapaian di luar dugaan ini. Teruskan usaha ke arah kecemerlangan” atau “Cikgu dari dulu lagi yakin bahawa kamu boleh buat yang terbaik, tahniah Ahmad!” ataupun “Pencapaian yang bagus, tahniah Ahmad, kamu adalah salah seorang harapan Cikgu!”. Bayangkan, bagaimana perasaan murid ketika membaca kata-kata KERAMAT yang tertera di kertas itu!. Kaedah ini dirasakan amat berkesan untuk merangsang dengan cepat motivasi seorang murid atau anak untuk melakukan tindakan-tindakan positif seterusnya.
Berilah pujian yang biasa dan tidak melebih-lebih. Yang penting pujian itu adalah pujian BERKUALITI. Bagi sekolah rendah, pujian itu seharusnya diikuti dengan pelukan guru kepada pelajarnya. Guru perempuanlah yang sesuai mengambil pendekatan ini kepada murid-muridnya. Bagi guru lelaki pula, pujian yang disertakan senyuman ikhlas tanda rasa bangga terhadap pencapaian murid itu lebih sesuai digunakan. Bayangkan bagaimana perasaan murid ketika menerima pujian, sentuhan dan senyuman ikhlas dari seorang cikgu! Siapa tahu, pujian dan sentuhan ini akan tersemat dalam ingatannya semumur hidup.
Pujian yang diberikan seharusnya diberikan secepat mungkin sebaik suatu kejayaan atau kebaikan dilakukan oleh murid itu. Kaedah ini lebih cepat merangsang sikap dan peribadi seorang murid berbanding pujian yang diberikan setelah beberapa hari atau minggu dari waktu susuatu kebaikan itu dilakukan murid. Inilah yang dikatakan instant atau on the spot. Jadi, nak beri pujian kepada murid, biarlah kejayaan murid tersebut masih terasa “PANASNYA”. Seperti yang ERAKITA pernah sebut dalam artikel sebelum ini, pakailah kata-kata orang putih ni “STRIKE THE IRON WHILE IT IS HOT”. Kalau nak beri pujian, berilah pujian itu ketika kejayaan anak murid itu masih diingat atau disebut-sebut.
Pujian dalam bentuk sindiran perlu dielakkan. Contohnya “Ahmad bukanlah pandai sangat tapi kali ini Ahmad mendapat markah yang baik. Mungkin Ahmad bernasib baik kali ini. Tahniah untuk awak!”. Kata-kata ini kelihatan seperti memuji tetapi pujian tersebut kelihatannya menyindir dan tidak memperlihatkan kejujuran guru ketika mengiktiraf pencapaian muridnya. Keadaan ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada murid apabila beranggapan bahawa guru itu bersifat negatif atau memandang rendah terhadap kemampuannya. Boleh jadi murid itu akan bertambah keliru dengan status kedudukannya. Ia mungkin keliru kerana tidak pasti samada dirinya berpontensi untuk maju atau tidak kerana kata-kata cikgunya tadi memberi persepsi bahawa pencapaiannya itu hanyalah secara kebetulan sahaja.
Dalam soal merangsang motivasi murid-murid untuk mencapai kecemerlangan akademik dan kurikulum mereka, banyak sekali cara atau kaedah yang boleh digunakan oleh seorang cikgu. Buku-buku motivasi keibubapaan, pendidikan dan bermacam-macam lagi yang ada di rak-rak kedai buku sentiasa menanti tangan kita untuk mencapai dan membelinya. Bukalah buku-buku itu dan hayati tips-tips yang disajikan. Amalkan mana-mana kaedah yang dirasakan bersesuaian dengan situasi kita. Pengalaman ERAKITA sebagai ayah kepada tiga orang anak yang sedang bersekolah sedikit sebanyak membantu memahami dan menghayati keadaan-keadaan ini. Ada kalanya anak akan menceritakan kepada ibubapa dengan penuh semangat bagaimana cikgunya memberi pujian kepada mereka sewaktu dalam kelas kerana melakukan satu perbuatan terpuji.
Adakalanya guru berkenaan bertemu dengan ibubapa dan menceritakan kepada mereka bagaimana anak mereka melakukan kerja yang baik ketika dalam kelas. Pujian guru tersebut tidak diceritakan kepada murid tetapi kepada ibubapa murid tersebut. Kaedah ini dilihat berkesan dan menghasilkan AURA tersendiri untuk menaikkan semangat anak-anak belajar atau memperbaiki disiplin serta peribadi mereka di sekolah dan di rumah. Cubalah sekali sekala guru-guru memberi pujian untuk anak muridnya melalui ibubapa. Ibubapa pula kena ceritakan semula kepada anak-anak mereka bahawa cikgu mereka ada memberi pujian kepada ibubapa mengenai kelakuan atau perbuatan anak di sekolah.
Lihatlah hasilnya nanti. Anda akan melihat raut wajah anak-anak anda begitu ceria dan teruja apabila guru mereka menceritakan sendiri kepada ibubapa mereka akan kejayaan atau kelakuan terpuji mereka di sekolah. Jika sebelum itu anak-anak malas membaca buku, lihatlah sendiri kesannya selepas pujian itu diceritakan kepada mereka. Mereka akan begitu bersemangat untuk membuka beg sekolah, mengeluarkan pen dan melakukan tugasan pembelajaran mereka. Yang penting, ketika memberi pujian tersebut, berilah pujian itu secara ikhlas, dengan wajah gembira dan bangga dengan anak-anak kita. Lebih berkesan lagi kalau kita dapat MEMELUK ERAT DAN MENCIUM KEPALA ANAK-ANAK tanda kasih dan sayang kita.
Kaedah memberi pujian yang dinyatakan di atas bukan sahaja dikhususkan untuk guru kepada anak-anak muridnya semata-mata. Sebenarnya, jika diteliti, kaedah-kaedah tersebut juga boleh diaplikasi atau diamalkan oleh para ibubapa di rumah. Contohnya, dalam soal memuji anak. Kalau ibubapa nak puji anak, biarlah puji anak tersebut sebaik saja anak tersebut melakukan kerja yang baik. Memuji sambil memeluk erat anak ke dada kita dengan penuh ikhlas mempunyai aura tersendiri yang seringkali diabaikan oleh ibubapa.
Semoga sedikit tips memberi pujian kepada anak murid ini dapat memberi input berguna kepada sesiapa juga yang terlibat dalam dunia pendidikan. Ibubapa juga tidak terkecuali untuk mencuba beberapa kaedah memberi pujian disebutkan di atas untuk diamalkan di rumah. Kepelbagaian teknik mendidik anak murid akan memudahkan kita melaksanakan tugas murni untuk melahirkan anak-anak yang CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG.
SELAMAT MENCUBA
0 Pesona Kata Hati Mereka:
Catat Ulasan